Monday, July 14, 2008

[Chapter 2]

WAKTU rehat telah bermula beberapa minit yang lalu. Tae Hwan melangkah masuk menuju ke tempat duduknya di dalam kelas sambil menghirup minuman kotak. Rakan-rakan lain ada sebahagiannya berbual-bual dalam menikmati bekalan masing-masing.

Entah mengapa sikap sambil lewa Tae Hwan saat itu menarik hatinya untuk melirik sekilas ke sebelah kiri yang memperlihatkan pelajar berkenaan sedang menghabiskan minumannya.

Sepantas kilat juga Tae Hwan menghempas kuat kotak minuman yang dihirup ke atas meja. Menyentap perasaan semua orang yang berada di situ membuatkan mereka cuba menoleh, ingin tahu apa yang sudah berlaku. Tiada apa-apa. Hanya Tae Hwan bersama wajah selamba berbaur serius, bagai baru tadi tidak melakukan apa-apa.

Situasi yang tiba-tiba jadi senyap berubah normal semula. Apa yang pasti, perbuatan Tae Hwan seharusnya merujuk kepada pelajar wanita yang duduk berjiran dengannya di dalam kelas tersebut.

Sama ada dia tahu atau tidak akan niat sebenar pelajar lelaki itu sedikit beremosi, dia tetap memberikan pandangan yang seakan tidak tahu apa yang telah berlaku. Tetapi paling nyata, ada persamaan antara mereka berdua. Selamba sahaja.

LANGKAH kaki dia perlahan sahaja menuju ke pintu pagar sekolah manakala pelajar-pelajar lain sudah bergegas ingin pulang ke rumah. Paling tidak, mereka ada aktiviti-aktiviti lain hendak dikerjakan selepas waktu sekolah berakhir.

“Tae Hwan!!”

Dia menghentikan langkah sebelum memusing badannya lalu menghadap si pemanggil yang kelihatan berseri-seri wajahnya apabila bersemuka dengan Tae Hwan yang sekadar menunjukkan riak bosan setiap kali bertembung mata dengan pelajar wanita itu.

“Kenapa dengan kau hari ni? Tahu tak aku cari kau semasa permainan di padang sekolah tadi tapi tiba-tiba saja kau hilang. Kau pergi mana?” Seolah-olah satu keluhan yang terselit nada kemanjaan.

Tiada tanda-tanda Tae Hwan mahu menjawab. Sebaliknya, dia lebih memberi perhatian pada keadaan sekelilingnya.

“Lagi satu, kenapa tak layan bila aku pandang kau dalam kelas? Aku rasa susah hati, tahu tak?” Sambung Ae Mi, tidak habis-habis meluahkan perihal perasaan hati.

Malah dia buat-buat muka merajuk pula. Akan tetapi Tae Hwan langsung tiada angin hendak menghiraukannya. Ae Mi mula nampak geram.

Ya Lee Tae Hwan!” Berkerut wajah si pelajar wanita di samping meninggikan suaranya dek rasa marah.

Mahu tak mahu, Tae Hwan memandang kepadanya yang kemudian tersenyum ayu. Ala-ala perasaan kali ini.

“Aku tahu kau hanya dengar cakap aku. Apa kata lepas ni kita pergi tengok wayang? Kita tak pernah pergi panggung wayang bersama selama ni jadi kau kena setuju sebab ada wayang baru sedang.....”

Tanpa alamat, tiba-tiba Tae Hwan memintas. “Bila kau nak habis cakap?”

Ae Mi terdiam.

Bahkan tanpa mempedulikan perasaan si pelajar, Tae Hwan pantas menyambung langkahnya untuk pergi dari situ.

Ae Mi berasa sangat hampa. Mengapa agaknya Tae Hwan sama sekali tidak memecahkan keangkuhan yang ada apabila bertemu dengannya? Tidakkah pelajar lelaki itu tahu bahawa dia sungguh menyukainya?

“Ae Mi! Tak balik lagi?” Seorang rakan kemudian menegur.

Dia mengeluarkan satu sungutan. “Aaaah! Bencinya!”

Si rakan terperanjat. Bingung.

Lantas Ae Mi melangkah lekas dengan marah-marah, memaksa si rakan cepat mengejarnya. Kasihan. Layanan dan kelembutan si gadis tidak sekali-kali mendapat sambutan di hati Tae Hwan.

TAUKE kedai menghulurkan sekotak rokok selepas menerima bayaran daripada Tae Hwan. Sebaik sahaja dia keluar dari kedai tersebut, terus sahaja dia mengetap hujung sebatang rokok dan selepas itu dia kelihatan lega ketika menghisap dan menghembus keluar asap rokok, benda yang sudah menjadi kegemaran sejak beberapa tahun lalu. Pendek cakap, Tae Hwan merupakan antara berbilion manusia yang dilabel peminat rokok.

Meskipun begitu, dia tidak kerap menghisapnya. Kebiasaan dua atau tiga kali dalam seminggu dan kekadang juga dia langsung tidak menyentuhnya.

Renungan Tae Hwan sambil menikmati rokok di mulut hanya seperti ingin melempiaskan rasa tension atau stress selepas bersekolah dari pagi hingga petang. Namun, renungan mata yang dingin bagai tersirat satu cerita di sebaliknya.

APABILA sahaja dia hendak menaiki tetangga rumah, seorang wanita muda menegur akan kepulangannya. Tae Hwan menolehkan wajah ke ruang makan di mana seorang lagi wanita turut berada di situ, agak-agak umurnya dalam lingkungan lewat 40-an. Rupa-rupanya dua ahli keluarga dia tengah menjamu minum petang.

“Kau dah balik. Marilah minum sama.”

Tae Hwan tidak menolak. Dia mengambil tempat utama antara dua wanita tersebut.

“Oh ya..mak ada beli manisan dalam perjalanan balik tadi. Tae Hwan, dah lama kau tak makan manisan, kan?” Wanita muda pula bersuara. “Ajumma! Tolong hidangkan manisan yang mak bawa balik tadi.”

Yeh..” Si orang gaji menurut suruhan.

“Eun Joo, awak akan bertolak ke Jepun minggu depan, kan?” Baharulah wanita yang lebih tua itu mengungkap kata. Wajah yang agak serius seakan-akan melambangkan sesuatu. Tegas mungkin perwatakannya.

“Ya. Mungkin saya akan berada di sana selama dua minggu. Mak jangan risau sangat. Dalam tempoh saya berada di Jepun nanti, Encik Gong akan ambil-alih semua kerja saya.”

Kurae.” Sambut si ibu pendek.

Eun Joo cuma mengulum senyuman sebelum menghirup air kopi yang dihidangkan di atas meja.

Tae Hwan pula setakat mendiamkan diri. Ibu dan Eun Joo, masing-masing sibuk dengan topik perniagaan mereka. Jika dilihat pada mata kasar, terpaksa diakui bahawa Tae Hwan bagai terpinggir. Tetapi, dia tampak biasa sahaja apabila berada di dalam keadaan sedemikian. Tiada tanda-tanda dia mahu merungut, juga tiada alamat dia mahu terlibat dalam perbualan antara keduanya. Dia hanya membisu.

Orang gaji menghidangkan minuman di hadapan Tae Hwan seperti yang telah diarahkan oleh majikannya.

Agak lama Tae Hwan memerhati hidangan tersebut lalu dia bangkit berdiri secara tiba-tiba. Pantas mengakibatkan perbualan si ibu dan Eun Joo terhenti.

“Mengapa dengan kau?”

Tanpa berlengah Tae Hwan memikul beg sekolahnya dan beredar ke tetangga berhajat naik ke tingkat atas rumah, tidak mahu mengambil-endah akan pertanyaan si ibu.

“Tae Hwan! Kau nak jadi biadab?!” Lantang suara si ibu, demi meluahkan rasa tidak senangnya akan sikap si anak sebentar tadi.

Eun Joo dan orang gaji berdiam sahaja bagai sudah terbiasa dengan situasi tegang sebegitu.

Langkah dia terhenti tetapi hanya membelakangi si ibu. “Selera dah hilang. Saya nak mandi.”

“Anak degil! Kau..” Hampir meletus kemarahan si ibu yang nyaris bertindak ke atas anaknya sejurus melihat kebiadaban remaja lelaki itu yang acuh tidak acuh menjawab cakapnya.

Mujurlah Eun Joo menghalang dan menenangkn jiwanya.

Bukan mahu meminta maaf, Tae Hwan terus meninggalkan ruang berkenaan. Si ibu cuba mengawal amarah. Sakit hatinya dilayan sedemikian oleh Tae Hwan.

“Anak degil lagi tak berguna tu masih tak berubah-ubah. Huh! Apalah nasib aku dapat anak biadab macam tu. Geramnya!” Si ibu mengurut-urut dada, cuba bertenang.

“Sabarlah, mak. Tae Hwan masih mentah sebab tu dia suka melawan.”

“Mengapa nak bela dia? Dah terang dia berlaku biadab pada mak. Anak tak berguna tu sekali lagi dia buat hal, mak akan kerjakan dia!”

Eun Joo membatu. Dia mengaku Tae Hwan memang susah diajar mahupun dinasihati. Keangkuhannya tinggi malah suka pula menjawab dan melawan. Sekali dipukul dia pasti tidak akan serik. Peliknya, dahulu dia bukanlah seperti itu. Semuanya tiba-tiba berubah sejak insiden tiga tahun lalu.

DALAM dia asyik menyiapkan kerja rumah, bunyi yang agak bising datang dari sebelah rumah mengunjungi gegedang telinga. Dia merelakan diri keluar dari rumah kecilnya hendak menjenguk apa yang tengah berlaku kepada si jiran.

Rupanya si jiran sedang mengangkat sebuah televisyen bersaiz kecil masuk ke dalam rumah. Baru beli mungkin. Terus dia ringan tulang membantu membukakan pintu rumah untuk jirannya.

“Dah beres!” Si jiran nampak senang sekali. “Maaf kerana mengganggu. Kumawo, Shin Yeo.”

Eh? Yeh..” Anggukan beserta senyuman sebagai balasan bagi ucapan si jiran. Bagi Shin Yeo, orang yang lebih dewasa tidak mudah meminta maaf kepada orang yang lebih muda lalu dia berasa senang akan perlakuan jirannya itu.

“Hmmm..apa kata saya belanja awak minum teh?”

Ternaik sedikit kening mata Shin Yeo dek pelawaan si jiran. Entah mahu menerima atau sebaliknya. Sementara si jiran pula hanya menunjukkan sebuah senyuman telus.

“Bagaimana? Sedap tak teh bancuhan saya?”

Shin Yeo mengangguk.

Mereka berdua sama-sama menikmati minuman panas di luar pantaran rumah sambil mengerling pada pemandangan malam yang kekadang disapa angin sepoi ditambah lagi dengan cuaca yang tidak kurang sejuknya.

“Kalau tak silap saya, rasanya kita dah sebulan jadi jiran. Anggaplah saya belanja minum malam ni sempena ulangtahun perkenalan kita sebagai jiran. Otte?”

Oh..” Ternyata sekali tiada halangan bagi Shin Yeo.

“Pak cik dah balik?”

Shin Yeo menggelengkan kepala. Wujud satu riak di wajah anak gadis itu lalu si jiran seakan mampu memahami makna sebenar di sebalik riak tersebut. Dia tidak mahu banyak soal tentang ayah saudara Shin Yeo yang mana dia sendiri baharu saja sekali dapat bertegur-sapa dengan lelaki berkenaan, tidak lama dulu itu pun terlalu singkat. Hanya sekadar memperkenal diri masing-masing. Belum pun sempat bertanya lebih lanjut, si pak cik sudah mahu mengundur diri dalam keadaan tergesa-gesa. Hakikatnya, dia dapat mengecam seperti ada yang tidak kena antara Shin Yeo dan ayah saudaranya tetapi dia enggan masuk campur. Bimbang Shin Yeo kurang senang.

“Dah sebulan kita tinggal berjiran. Awak tak kisah kan saya tinggal di sini?” ujarnya yang sememang murah dengan senyum gentleman terutama sekali ketika bersama jirannya yang seorang itu. Masakan tidak, hanya rumah Shin Yeo yang berhampiran dengan tempat tinggalnya.

Lagi sekali Shin Yeo memberikan gelengan. Nampaknya dia lebih suka menggunakan perbuatan sebagai balasan atau jawapan berbanding kata-kata.

Pada hakikat, si jiran sendiri mengaku sepanjang dia mengenali Shin Yeo dalam tempoh yang masih singkat, pada mulanya dia berpendapat gadis muda itu sangat dingin malah selalu bermurung ditambah dengan keseriusan wajah namun sebenarnya Shin Yeo tidaklah serius sangat acapkali di sebalik kedinginannya. Lagi pula, Shin Yeo boleh menerima gurauan hanya tidak mudah melepaskan tawa apabila mendengarnya. Sebagai gantian, gadis itu hanya akan mengukir senyuman. Lantaran demikian juga, si jiran kian menyenangi kehadiran Shin Yeo yang dingin tetapi kelihatan naif.

“Pergilah masuk rumah, dah nak lewat malam ni. Oh ya..macam selalu jangan lupa ketuk pintu saya bila awak nak pergi sekolah esok.” Satu pesanan yang juga dibalas dengan anggukan kecil.

Shin Yeo menghadap si jiran lalu berkata, “terima kasih untuk teh tadi. Selamat malam, Cikgu Park.”

“Selamat malam.”

Ji Sung tersenyum senang tika memerhati Shin Yeo, pelajarnya yang juga merupakan jiran sebelah memasuki rumah. Sungguh dia berpuas hati akan perhubungan baik yang terjalin antara mereka berdua, guru dan pelajar.

No comments: