Monday, July 7, 2008

[Chapter 1]

SEGOLONGAN pelajar sudah berpusu-pusu memasuki perkarangan sekolah melalui pintu pagar utama menuju bangunan Sekolah Tinggi Yaksan, golongan pelajar yang sememangnya sudah menjadi kebiasaan apabila nama-nama mereka dipanggil untuk dikenakan hukuman atas kesalahan melanggar peraturan sekolah oleh sekumpulan cikgu disiplin.

Salah seorang daripada mereka hanya menunjukkan wajah selamba seiring mengorak langkah perlahan malah sambil lewa sahaja lagaknya. Walhal pelajar-pelajar lain pula ada yang sudah berubah rona wajah menjadi panik dek terlihat akan rotan-rotan panjang yang lain tidak bukan pasti telah disediakan istimewa untuk menghukum mereka. Satu-persatu sudah mula ketakutan.

“Lee Tae Hwan! Ya!”

Nada tinggi lagi nyaring milik suara salah seorang guru disiplin menegur sekaligus telah mampu menghentikan langkah si pelajar. Tambahan pula, wajah bengis garang yang dipamerkan agak menggerunkan. Walau bagaimanapun, reaksi tersebut sekadar dipandang sekilas oleh si pelajar malah dia bersama keselambaannya menghadap si cikgu. Alahai! Semacam seorang kawan tengah bertentangan dengan kawan yang lain pula. Adat orang muda agaknya. Semacam mahu memperlihatkan kemegahan diri.

“Macam biasa, Lee Tae Hwan lewat datang lagi. Memang tak serik-serik, ya..?Oh?Atau memang dah jadi rutin harian? Nampaknya pukulan cikgu sebelum ni betul-betul tak berkesan tapi tak mengapa.” Riak wajah si cikgu makin membengis.

Semua pelajar yang dihukum diperintah melutut. Rata-rata menundukkan kepala.

“Dengar sini semua! Hari ni kalian akan rasa akibat sebenarnya melanggar peraturan sekolah!”

Lantas ringan sahaja tangan si cikgu melibas kasar tubuh si pelajar. Tae Hwan rebah terduduk. Selamba wajahnya kini menyimpan satu makna. Geram. Tetapi dia masih mampu mengawal perasaan. Kemudian dia memperbetulkan posisi duduk saat satu lagi hentaman hebat menampar pipi kanannya. Perasaan semakin bergejolak. Tegang segala urat saraf di wajah. Dia cuba melawan kemarahan yang dalam diam tengah menidih.

Tidak setakat itu, sekitar bawah permukaan wajahnya pula dicengkam kuat oleh tangan si cikgu. “Muka apa ni? Nak tunjuk lagak depan cikgu, ya..?” Si cikgu memang benci terhadapnya.
Kini giliran pipi kiri Tae Hwan ditampar-tampar ringan. “Kau dengar baik-baik, budak bermasalah. Cikgu akan pastikan kau ‘dibelasah’ cukup-cukup hari ni dan waktu ni juga. Ya..tunjukkanlah lagi muka samseng kau tu!” Pada mulanya si cikgu berbisik tetapi pada penghujung ayat, dia meninggikan pula intonasi suaranya bagai mengisyaratkan dia betul-betul akan mengerjakan pelajar tersebut. Maka tidak hairan dia sangat dikenali dengan gelaran ‘Si Raksasa’. Semua pelajar pasti akan dapat menjawab dengan tepat jika ditanya milik siapa gelaran itu.

Belum pun sempat si cikgu membuka langkah, salah seorang cikgu wanita di sekolah yang sama menyapa lembut cikgu disiplin berkenaan. Sedikit terkinjat jadinya si cikgu sejurus menerima kehadiran cikgu wanita itu yang terserlah kesopanan dan keayuan yang memikat.

“Ah...cikgu! Apa cikgu buat di sini?” Lembut dan perlahan pula nada yang diluahkan oleh si cikgu disiplin. Terus hilang kebengisan wajahnya apabila berhadapan wanita cantik.

Mengendur kegelisahan pelajar-pelajar yang bakal menerima hukuman dek suasana antara dua cikgu yang berlainan watak berkenaan.

Si cikgu wanita bersuara. “Sebenarnya saya sedang cari cikgu. Ada hal yang hendak saya tanyakan.”

“Oh? Yakah? Apa dia?”

Nampak keberatan pula si cikgu wanita mahu menjawab. “Rasanya biarlah mereka semua ni pergi dulu sebab saya rasa tak elok berbincang hal ni depan mereka. Bagaimana, cikgu?”

Si cikgu seolah-olah berfikir dahulu akan tetapi sentuhan lembut jemari si cikgu wanita pada lengannya telah menjetik perasaan kejantanannya. Lumrah lelaki pantang berdampingan dengan wanita sudah mulalah tunjuk kegatalannya. Aduh!

“Mmm..baiklah. Saya rasa cikgu cakap betul.” Agaknya si cikgu sudah terpengaruh. “Pelajar semua! Hari ni kamu bernasib baik tapi ingat! Cikgu takkan lepaskan kamu jika kesalahan ni berulang lagi. Ara cho?!” Di samping itu terselit juga satu amaran.

“Yeh!” Pelajar-pelajar menyahut kegirangan sambil berlari-lari anak pergi dari situ. Amaran tadi bagai masuk telinga kanan keluar telinga kiri pada pengamatan mereka.

“Apa yang nak cikgu tanyakan tu, ya..?” Sungguh galak respon si cikgu hingga tidak menangguh masa lagi mahu melayan wanita di hadapan mata bahkan sudi membatalkan hukuman semata-mata ingin memenuhi kehendak rakan sekerjanya. Tentu si cikgu memang meminati cikgu wanita itu. Kalau tidak, jangan harap dia mahu menerima cakap.

Tae Hwan menggalas beg sekolahnya dan sempat mengerling kondisi antara dua tenaga pengajar tersebut, nampak mesra satu sama lain. Tegas dan gagah kononnya. Senget senyuman nipis yang tertera di bibir Tae Hwan. Menyampah dia menengok!

“Cikgu ni memang pemurah.” Kedengaran nada suara si cikgu wanita.

Alamak! Perasan pula si cikgu dibuai pujian. Nampak gayanya si cikgu tidaklah setegas mana, kekal mampu tertunduk dek wanita.


DETIK dan saat itu dapat disaksikan suasana padang sekolah lebih menarik perhatian sebilangan besar pelajar disebabkan pertandingan bola keranjang antara dua pasukan yang masing-masing dikemudi oleh seorang guru latihan jasmani, jika dibandingkan permainan-permainan yang juga berlangsung pada waktu yang sama tetapi berlainan tempat.

Kebanyakan kelas pada waktu tersebut tengah menjalani period jasmani jadi bukan satu kehairanan kalau ramai pelajar yang mengelilingi padang sekolah. Seronoknya!
Riuh-rendah kawasan padang akibat sorakan para penyokong dua pasukan yang ramai terdiri daripada golongan pelajar wanita.

“Wah! Segaknya dia. Lontarannya pun hebat.”

“Aku memang dah lama meminatinya. Alangkah bahagianya kalau aku dapat kekasih macam dia..?”

“Sarang hae yo!”

Sampai begitu sekali penangan yang dibawa oleh salah seorang pemain pasukan tersebut ke atas beberapa orang pelajar wanita yang menggelar diri mereka sebagai peminat setia.

Memang tidak dapat disangkal kehebatan pemain yang dimaksudkan, lincah meloloskan dirinya daripada lawan di dalam permainan acapkali pasukan yang dikemudi masih ketinggalan beberapa mata untuk mengejar peluang menang.

Buktinya, sepasang mata seorang lagi pelajar wanita turut memberi lebih perhatian kepada pemain yang sama meskipun tangannya setia memegang buku namun hanya dibiarkan tanpa endah. Aahai..boleh tahan juga golongan peminat pemain berkenaan.

“Tengok tu! Teman lelaki kau dah datang!” Seorang pelajar wanita yang lain menyiku lengan si rakan di sebelahnya sebagai pemberitahuan untuk memerhatikan pelajar lelaki yang sedang bersendirian di suatu sudut. Kiranya pelajar itu juga turut sama menyaksikan permainan yang masih berjalan.

Bibir si pelajar wanita mula mengukir senyuman melebar. Berseri-berseri. “Akhirnya dia muncul juga.”

Tanpa melengahkan masa, dia pantas berlalu mahu mendapatkan teman lelakinya yang statik di posisi sama.

Juga tanpa disengaja, dia tidak semena-mena terlanggar pelajar lain yang kebetulan bangkit dari duduk malah mengakibatkan bukunya terlepas dari pegangan. Lantas mengutip kembali buku miliknya dari atas permukaan padang kemudian memandang si pelajar wanita yang sudah siap sedia merenung tajam ke arahnya.

“Mata kau letak di mana?!” Marah si pelajar. “Menyusahkan orang saja!”

Manakala dia sekadar menundukkan kepalanya demi memohon kemaafan lagipun dia bukan sengaja. Yang pasti, langsung tiada respon positif daripada pelajar wanita yang dilanggarnya sebentar tadi.

“Pada waktu ni kau masih ada angin nak baca buku?Ulat buku?Tapi aku rasa muka kau ni lebih layak macam budak naif. Ya! Lain kali letak mata kau di tempat yang betul. Bencinya!”

Si pelajar menyambung langkah. Dia pula masih memandang acuh tak acuh. Pandangan mata yang sukar diramal. Entah dia merendah diri, entah berpuas hati atau sebaliknya, pelbagai perasaan yang tersenarai tidak nampak tengah terpamer di ruang wajah dan matanya. Tambahan, dia sememang kelihatan naif.

Bunyi wisel bergema. Permainan telah tamat!

Begitu juga tamatnya langkah si pelajar wanita yang sedang kecarian akan kelibat sang kekasih. Dia jadi gundah-gulana kerana geram hati. Justeru, dia melemparkan renungan marah kepada pelajar yang tidak sengaja melanggarnya. Kalau bukan disebabkan insiden tersebut, pasti dia sudah bersemuka dengan si kekasih.

Dia pula melirik-lirik sekilas pada pelajar sinis tadi kemudian mengalihkan perhatian ke arah lain. Cuba buat-buat tidak tahu. Sudahlah dia dimarah, pelajar wanita itu mahu mengamuk padanya pula kah..?

“Apa dah terjadi?” Si rakan lekas bertanya ketika menghampiri si pelajar wanita.

“Dia dah tak ada! Entah ke mana dia lesap. Geramnya!”

Tiada angin juga ribut, seorang lelaki melabuhkan punggung di atas bangku sebelahnya sambil mengelap peluh penatnya dengan sehelai tuala kecil.

“Huh..kalah lima mata. Bagaimana ni? Masih ada peluang jadi pemain sukan negara tak?” Lelaki itu tiba-tiba mengadu keluhan.

Dia hanya menguntum senyuman nipis.

“Awak tak nak komen permainan saya? Bagus atau tak?” Sambung si lelaki bagai tidak berpuas hati tiada jawapan jelas daripada insan di sebelah.

“Cikgu Park, cikgu memang pandai main bola keranjang.” Akhirnya terluah jua satu pengakuan yang berupa jawapan.

“Sejujurnya saya nak tahu..saya pandai main tapi tak hebat?”

Si pelajar wanita yang sering digelar naif itu menegakkan ibu jarinya dan menjawab. “Pandai main dan juga hebat.”

Tersenyum lebar si cikgu mendengarnya. Terhibur. Sekalipun pasukan yang diketuainya kalah namun ia hanya sesi perlawanan persahabatan bagi mengisi period latihan jasmani dek dia adalah salah seorang tenaga pengajar yang bertanggungjawab menyelenggara subjek tersebut.

“Saya nak tukar pakaian dulu sebelum hadiri parti privasi lepas ni. Nampaknya saya kena bersedia untuk melayan para peminat.”

Mereka sama-sama bangun dari bangku.

“Mereka berusaha mengadakan parti ni untuk saya. Awak tak terlibat sama, kan?”

Pantas dia menggelengkan kepala.

“Mana tahu awak juga adalah peminat saya dalam diam..?”

“Tak ada lah, cikgu.”

Cikgu Park ketawa. “Saja bergurau. Jumpa nanti.”

Senyuman di bibirnya masih bersisa buat sejenak memerhati pemergian si cikgu. Park Ji Sung, pengajar baru sekolah yang baru memulakan misi tugas beberapa bulan lalu sudah mempunyai kelompok peminatnya tersendiri. Kekadang hal sedemikian menimbulkan rasa dengki di kalangan pelajar lelaki. Adatlah namanya wanita lebih memilih paras rupa dan kematangan usia sebagai ciri-ciri idaman.


GURU subjek tekun menulis isi-isi penting pelajaran pada papan hitam yang diletakkan di hadapan sementara pelajar-pelajar pula diarahkan untuk menyalin kesemuanya dalam buku masing-masing.

Lain halnya dengan seorang pelajar wanita di kelas itu, sibuk-sibuk pula dia menoleh ke belakang kemudian mengenyit mata kepada salah seorang pelajar lelaki yang berposisi di belakang sekali. Seolah-olah dia mahu menunjukkan perasaan hati pada sang kekasih dari tempat duduknya.

Tae Hwan yang menangkap pandang akan perbuatan pelajar tersebut cuma menarik wajah meluat. Bertentangan pula responnya. Kira-kira si pelajar wanita pula yang mengada-ngada.

Dalam waktu yang sama, dia yang duduk bersebelahan Tae Hwan mengerling suasana yang berlaku antara dua rakan sekelasnya itu tadi. Barangkali tertanya-tanya apa ada antara keduanya. Tidak semena-mena Tae Hwan mula perasan akan perlakuan pelajar di sebelah yang sekali-sekala melirik kepadanya. Namun, Tae Hwan langsung tidak ambil hirau acapkali riak wajah menunjukkan kurang senang.

No comments: